Utusan Malaysia, 6 Julai 2023.

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta itu ditambah baik.

Perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, ekosistem tata kelola baik negara diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip-prinsip tadbir urus baik.

Ia antara syor penambahbaikan tata kelola yang lebih holistik bagi mempertingkat kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran kerajaan.

“Indeks Governans Malaysia dijadikan mekanisme pengukuran tahap tata kelola baik di negara ini, manakala kajian pengwujudan Akta Tata Kelola dilaksanakan bagi memastikan amalan tata kelola baik yang berkesan.

“Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) akan dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan susulan segera bermula LKAN tahun 2022 dengan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut turut bersetuju agar peranan JKKMAR diperkasa dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang akan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelola baik.

Katanya, amalan prinsip itu itu supaya diambil kira dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif dan program oleh semua agensi di sektor awam.

“JKKTN juga diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan badan berkanun termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan.

“Had bilangan lembaga pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam melibatkan badan berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan juga akan dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan peranan penjawat awam dalam lembaga pengarah,” katanya.

Mesyuarat turut membincangkan status pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta hala tuju pemerkasaan inisiatif-inisiatif antirasuah selaras dengan Perkara 5 dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).

Sehubungan itu, kerajaan bersetuju meneruskan kesinambungan NACP dengan satu strategi baharu di peringkat nasional dikenali sebagai Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

Pada masa sama, kerajaan memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran kerajaan.

Justeru, kata kenyataan itu, satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi.

“Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] ditambah baik bagi memastikan saluran aduan lebih diyakini dan berkesan.

“Kerajaan komited melaksanakan agenda pemerkasaan tata kelola sebaik mungkin bagi menyokong pembangunan negara dan memastikan setiap usaha kerajaan bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

– UTUSAN